Saturday, 10 November 2012

Perlukah dengki dan cemburu?


Perasaan cemburu merupakan naluri manusia yang sukar dibendung. Ada pelbagai sifat cemburu samada positif mahupun negatif. Persoalannya, adakah kita mampu untuk mengawal perasaan cemburu ini?



Bila menyebut pasal cemburu, ramai yang akan menuding jari kepada wanita. Kebanyakannya menganggap golongan hawa kuat cemburu. Hakikatnya, sifat cemburu bukan hanya dimiliki oleh wanita tetapi juga lelaki.

Kita sebagai manusia biasa, memang tidak boleh lari dengan perasaan cemburu..ianya akan  terus mendiami di dalam hati kita selagi tidak dirawat dengan sempurna. Namun, semuanya terpulang pada diri kita sendiri kerana kita yang lebih mengenali diri kita sendiri berbanding dengan orang lain.

Perasaan dengki dan cemburu hadir apabila kita merasakan diri kita kurang dan lemah berbanding dengan orang lain. Kita berasa cemburu apabila melihat kelebihan dan kejayaan yang orang lain miliki. Dengan ini, perasaan ini akan menjadi lebih parah apabila kita mempunyai niat yang tidak baik terhadap mereka. Contohnya, merancang perkara yang tidak elok semata-mata untuk menjatuhkan orang yang kita cemburu

Makin besar perasaan dengki dan cemburu yang ada pada seseorang, makin besar api kesengsaraan dan kegelisahan yang terkumpul di dalam jiwa kita. Jika perasaan ini terus dipendam di dalam jiwa, maka akan lahirlah perubahan-perubahan buruk yang akan mengubah sikap dan perilaku seseorang itu.

Kita sepatutnya bersyukur dengan kelebihan yang kita miliki kerana setiap manusia mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Orang yang percaya kepada kelebihan dan kecekapan yang ada pada dirinya tidak akan ada tempat di dalam hatinya untuk perasaan dengki dan cemburu.

Bahkan apabila melihat kejayaan orang lain, kita seharusnya ada perasaan  untuk mempelajari segala rahsia kejayaan orang tersebut sebagai contoh dan teladan untuk membina kejayaan untuk diri kita sendiri.

Begitu juga dengan sikap cemburu pada pasangan masing-masing. Kita boleh menunjukkan perasaan cemburu pada orang yang kita sayang, tetapi hendaklah dikawal dengan baik dan sempurna. Hubungan yang baik seharusnya disemai dengan penuh keikhlasan dan saling mempercayai bukannya melalui perasaan cemburu yang keterlaluan.

Maka, bersyukur dengan apa yang kita miliki adalah kunci utama untuk membuang sifat cemburu dan seterusnya akan mendatangkan kebahagiaan dan ketenangan di dalam hati kita.. 


No comments:

Post a Comment