Sering kali kita digemparkan dengan berita mengenai kejadian
rompakan yang melibatkan senjata api di beberapa negara lain terutama negara
yang berjiran dengan kita. Namun begitu, tahukah kita bahawa sebenarnya negara
kita sendiri juga tidak terlepas daripada ancaman yang melibatkan kes senjata
api ini terutamanya di kalangan remaja?
Peratusan kes rompakan bersenjatakan api ini semakin
meningkat dan akan terus berleluasa jika tidak dibendung dengan segera. Malah,
semakin ramai yang akan terkorban dan menjadi mangsa kes rompakan ini.
Persoalannya, kenapa mereka bertindak sedemikian? Isu ini perlu dikupas dengan
segera untuk mencari jalan penyelesaian mahupun inisiatif yang sesuai supaya
perompak-perompak ini tidak bertindak lebih ganas dan di luar kawalan pihak
polis.
Banyak kes yang melibatkan senjata api ini telah berlaku di
setiap negeri. Sebagai contoh, kes yang berlaku di Kuala Lumpur, seorang remaja
tampil menyerah diri bersendirian apabila gambarnya telah disiarkan media. Hal
ini disebabkan remaja berkenaan merupakan suspek utama kes tembakan yang
mencederakan dua anggota polis di Jalan Kuchai Lama, di sini 26 September yang
lalu.
Jika kita mengkaji keseluruhan kes ini, kenapa remaja
berkenaan boleh bertindak dengan begitu berani sedangkan dengan umur belasan tersebut
dia seharusnya lebih menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Mungkin juga
pengaruh rakan sebaya juga telah menyebabkan remaja ini bertindak sedemikian.
Kebiasaannya, golongan remaja suka mencuba sesuatu yang baru dan mereka hanya
mementingkan keseronokan tanpa memikirkan kesan yang akan mereka hadapi pada
jangka masa panjang.
Kebanyakan daripada kita tertanya-tanya di manakah
penjenayah berkenaan mendapat
bahan-bahan untuk melaksanakan jenayah tersebut. Adakah terdapat
sindiket-sindiket tertentu yang telah melebarkan sayap mereka dengan mengeksport
senjata api tersebut? Semua ini sentiasa berlegar-legar di fikiran kita untuk
turut sama mengetahui apakah puncanya supaya kita dapat bersama-sama
menyelesaikan kes ini daripada terus berleluasa di merata tempat.
Secara keseluruhannya, pihak polis perlu memainkan peranan
dengan sebaiknya untuk membendung masalah jenayah yang melibatkan senjata api
ini. Hukuman yang lebih berat perlu dilaksanakan agar masyarakat memandang
masalah ini dengan lebih serius dan boleh mengambil langkah yang sewajarnya.
Dengan ini, kita seharusnya berganding bahu untuk bersama-sama membangunkan
negara kita tanpa membiarkan masalah ini daripada berlarutan.
No comments:
Post a Comment