Monday, 29 October 2012

Kalau saya bukan pelajar Masscomm..

Masa berlalu begitu pantas mengikut putarannya. Namun begitu, tiada siapa boleh mengubah masa yang sentiasa berganjak dari hari ke hari yang lain. Kini, saya sudah bergelar mahasiswa tahun kedua di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor.

Terdapat banyak kenangan manis mahupun pahit sepanjang bergelar seorang mahasiswa dalam fakulti Komunikasi dan Pengajian Media. Namun demikian, segala onak duri telah dapat di tempuhi dengan penuh sabar dan tabah. Syukur Alhamdulillah segulung diploma telah dapat digenggam dan kini menunggu masa untuk mendapatkan segulung ijazah.

Jika kembali kepada masa lalu, jauh di sudut hati saya tidak pernah menyangka yang saya akan bergelar seorang pelajar Masscomm. Jika diingatkan balik, saya mempunyai cita –cita lain yang sudah ditanam sejak kecil lagi.

Kalau saya bukan pelajar Masscomm, saya adalah seorang guru kerana saya memang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya mempunyai impian untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan. Bayangan untuk menjadi seorang guru sudah terlekat di dalam fikiran saya.

Bagi pendapat saya, kerjaya sebagai seorang guru sangat mulia kerana guru merupakan orang yang banyak berjasa dalam mendidik pelajar-pelajar menjadi seorang yang berguna. Tambahan lagi, guru berperanan memberikan ilmu supaya anak muridnya berjaya dengan cemerlang dan juga berjaya mencapai apa yang dihajati. Jika anak muridnya berjaya, gurulah orang paling gembira selain ibu bapa kerana guru berasa segala jasa dan bakti mereka telah membuahkan hasil yang baik.

Saya mungkin seorang guru Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris kerana saya amat berminat untuk lebih mendalami dalam kedua-dua bahasa tersebut. Ilmu adalah penyuluh kehidupan yang mana guru adalah seorang yang diberi tanggungjawab yang besar dalam menerangi hidup anak muridnya.

Semasa berada di sekolah, guru adalah orang yang paling banyak meluangkan masa dengan kita. Ketika kita menghadapi masalah berkaitan dengan pelajaran mahupun soal peribadi, guru juga tempat kita mengadu dan mereka juga tidak lokek untuk membantu ketika kita dalam kesusahan.

Seterusnya, saya juga mempunyai seorang idola ketika di sekolah. Walaupun berlainan bangsa dan agama, itu tidak menjadi penghalang untuk saya mewujudkan ikatan yang baik demi mendapatkan ilmu yang berguna untuk kegunaan masa hadapan. Cikgu Koo Boon Chin ini merupakan salah seorang guru yang sangat saya kagumi ketika di sekolah menengah kerana cara penyampaiannya ketika mengajar telah menarik minat semua pelajar-pelajar di sekolah saya.

Secara keseluruhannya, semua ini adalah bayangan pada masa lalu kalau saya bukan bergelar pelajar Masscomm. Hakikatnya, saya kini adalah pelajar daripada fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dalam major Pengurusan Komunikasi dan Polisi. Walaupun saya bukan bergelar seorang guru, saya bangga dengan diri saya sekarang yang sudah mencapai tahap yang saya harapkan. Mungkin tidak semua yang kita impikan kita akan dapat dalam sekelip mata.

Namun, saya percaya dengan prinsip “bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”. Saya percaya dengan menceburi bidang Masscomm ini juga mungkin banyak lagi peluang yang lebih baik yang boleh saya genggam.

          
     " NOW, I AM A MASSCOMERS..AND I PROUD TO BE  A MASSCOMERS"

No comments:

Post a Comment